Anak soleh atau tanggang moden ?

Terpanggil untuk saya coretkan entri kali ini berkenaan dua sosok tubuh yang telah menjaga kita seperti menatang minyak yang penuh, bermula sejak kita dilahirkan dari rahim empunya ibu dan benih miliknya ayah. Lihatlah zaman sekarang banyak paparan di kaca televisyen melalui filem ataupun drama tentang kisah kekeluargaan lagi-lagi pasal ibu bapa yang ditinggalkan di rumah orang tua, anak yang tak mengenang budi dan tidak menghormati ibu bapa, perebutan harta antara adik-beradik dan banyak lagi. Realitinya apa yang kita lihat dalam drama itu memang berlaku di kalangan masyarakat kita. Tidak boleh dinafikan. 

love parents grow old quotes.jpg

Dan baru ini sempat saya menonton satu rancangan yang membawa tajuk tentang si tanggang moden. Apa yang dibincangkan itu sangat menarik hati saya untuk mendengar sampai habis.

Seorang kaunselor telah menjadi panel untuk mengupas isu tersebut , beliau menerangkan di mana hampir setiap hari beliau menerima kes ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak dan mereka merujuk dengan kaunselor tersebut untuk mengatasi hal sedemikian. Antara kesnya adalah ada ibu kepada 6 orang anak mengadu anak-anaknya langsung tidak melawat walaupun seorang terutamanya semasa perayaan Hari Raya, ada kes ibu yang ditinggalkan seorang diri di hotel kerana terasa beban untuk menjaganya, ada yang langsung tak bertanya khabar dalam erti kata lain memutuskan hubungan dengan ibu bapanya. Terasa sebak di dada jika saya yang menjadi ibu bapa tersebut. Moga-moga dijauhkan daripada perangai sebegitu. 

Buat ibu bapa atau bakal menjadi ibu bapa seperti saya,

Kaunselor tersebut meneruskan lagi perbincangannya. Kadang kadang ada ibu bapa bertanya kepada beliau kenapa anak-anak mereka berperilaku sebegitu rupa, sedangkan semasa kecil mereka sudah menjaganya sebaik mungkin. Dalam hal ini,  ramai yang menyalahkan anak seratus peratus, sedangkan ibu bapa diri tidak pernah bermuhasabah apa yang telah dilakukan sebelum ini. Maka persoalan ini boleh dijawab dengan pelbagai faktor. Salah satunya mungkin ini adalah kiffarah buat ibu bapa kepada perbuatan dosa yang lalu, mungkin juga cara didikan ibu bapa itu sendiri yang terlampau kasar ketika mereka masih kecil, dan dari situ anak merasa ingin berjauhan dengan ibu bapa dan akhirnya bila mereka besar, terus membuat keputusan untuk menjauh sehingga tidak mempedulikan ibu bapanya. Sebab itu dikatakan masa silam anak-anak ini sangat mempengaruhi mereka ketika usia semakin dewasa sampai anak-anak tidak mahu berhubung dengan kedua orang tuanya lagi. Bersegeralah refleks diri, bertaubat dan berdoa agar dimudahkan urusan menjaga amanah Allah iaitu anak-anak.

Hal demikian, mak saya selalu pesan bila dah jadi ibu bapa nanti kena rendahkan ego sendiri dengan biasakan minta maaf dengan anak-anak, dari situ sebenarnya boleh redupkan emosi anak yang tidak stabil. 

Dan kaunselor menyatakan sentuhan ibu bapa itu sangat perlu buat anak-anak, agar mereka merasa dekat dan anggap ibu bapalah pelindung yang terbaik buat mereka.

3 Fasa anak-anak yang perlu diberi perhatian ibu bapa iaitu fasa awal kanak-kanak, fasa kanak-kanak dan fasa remaja. Bentuklah anak dengan sebaiknya agar menjadi anak yang soleh dan solehah, Ikut bagaimana Rasulullah mendidik anak-anaknya

infografik-4-tahap-1

Perkongsian kaunselor tersebut sangat berguna. Terima kasih tuan. 

Bagi anak-anak pula, sayangi ibu bapa anda sebaiknya. Jangan abaikan mereka, walau buruk mana pun perangainya masa muda, itulah satu-satunya aset kita di dunia ini. Turunkan ego, jangan disebabkan masa lampau, kita acuh tak acuh menjaganya.

Ya, cabaran sebenar seorang anak adalah apabila menghadapi ibu dan ayah yang sudah lanjut usia dan tidak berdaya, bukan semasa mereka masih gagah perkasa. Masa itu, ibu bapa yang sudah tua mengalami emosi yang tidak stabil dimana sangat sensitif seperti bayi. Dan ketika ini lah, Allah pesan :

Dan Rabb-mu telah memerintahkan agar kamu jangan beribadah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu-bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Ya Rabb-ku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.

(Al-Israa’ : 23-24).

Renungilah ayat di atas, 

Memang menjaga orang tua itu sukar apatah lagi ibu bapa kita sendiri, saya nak berkongsi satu cerita sebagai iktibar bersama, pernah melalui pengalaman menjaga orang yang sangat tua sekitar umur 100 tahun dalam 4 bulan. Setiap hari ada jadual untuk mengurusnya, perlu sediakan makanan, memastikan lantai bersih dan bebas daripada titisan-titisan air kencingnya, perlu mandikannya, ingatkan sembahyangnya,  di sampingnya sepanjang masa ( part ni memang ujian betul, kena pandai handle  ) kerana lumrah orang tua takut bersendirian di rumah. Walaupun jujur saya katakan, agak tidak bebas bukan seperti orang lain, namun sebenarnya saya dapat belajar mengendalikan orang tua dan sebagai peringatan yang saya juga akan melalui saat tua ini satu hari nanti.
Sejak itu, baru saya faham perasaan anak yang menjaga ibu bapanya yang tidak terdaya ( kena mandikan, masakkan, tidurkan). Belum tahu lagi apa penerimaan pasangan dan anak-anaknya, jikalau dapat yang mudah menerima, syukurlah. Tapi jika sebaliknya, di situ lah ujian nya yang perlu dihadapi. 

Melayan karenah ibu bapa itu satu perkara juga, perlu kita bersabar, kerana hati mereka senang terguris jika ada yang kena walaupun hal sekecil semut. Maka janganlah pula kita mengeluh bila menjaga orang tua, biar SABAR menjadi peneman dan berDOAlah agar ibu bapa kita sihat sejahtera dan dimudahkan urusannya, serta bertawakkal yang kita sudah buat sebaik mungkin. Ingat sahaja, yang kedua orang tua kita sudah menjaga dan mendidik kita sehingga menjadi orang yang berguna, inilah masanya kita menggunakan kudrat kita yang ada untuk membalas jasa walaupun kita akur ia tidak sebanyak mereka menjaga kita. 

Dalam hal lain, Ibu saya ada berkongsi bila berkomunikasi dengan orang yang lanjut usia ni kita mesti guna kaedah psikologi ;

Biarkan ibu bapa atau orang tua itu nombor 1, kita yang muda ni no 2. Kalau tidak, alamatnya gaduh sampai tak sudah. 

That’s how to interact with them.

Senangkanlah ibu bapa sehingga akhir hayat mereka, apa yang diperlukan ibu bapa ketika usia tuanya adalah belaian dan kasih sayang seorang anak, bukan duit bulanan, rumah ataupun kereta mewah yang kita sediakan untuk mereka. 

Jadikah kisah Al-Qamah yang hidup di zaman Rasulullah s.aw sebagai pengajaran buat kita. Dimana beliau seorang yang rajin ibadah tapi satu hal yang menyebabkan sukar mengucap syahadah ketika nazak iaitu, beliau sering melebihi isterinya berbanding ibunya sehingga tanpa sedar beliau telah menyakiti hati ibunya. Kemudian, ketika Rasululullah berjumpa ibu Al-Qamah pujuk agar memaafkan dan meredhainya, barulah beliau dapat mengucap kalimah syahadah dan pergi dengan tenang.

Akhir kata, janganlah derhaka kepada kedua orang tua. Tiada dosa yang lebih berat dan lebih cepat seksanya di dunia dan akhirat melebihi derhaka kepada kedua orang tua. Sedangkan berbakti kepada kedua orang tua adalah suatu kewajiban bagi setiap anak. Kerana itu, berbaktilah kepada mereka, baik semasa hidup mahupun sesudah mereka pergi walaupun terpaksa berhabis harta sekalipun. InshaAllah, Allah tak pernah memiskinkan anak yang menjaga orang tuanya. Janganlah derhaka atau memutuskan hubungan silaturahim dengan mereka hanya sebab demi mengejar karier, membahagiakan isteri atau suami. Tanpa kita sedari, ia mendekatkan lagi dengan azab Allah.

Moga-moga kita di kalangan anak-anak yang baik kepada ibu bapa yang hebat di atas muka bumi ini. Amin

Moga ada manfaatnya.

Sumber Rujukan :

  1. Rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah
  2. http://www.excelqhalif.com/2012/10/02/4-tahap-mendidik-anak-cara-rasulullah-s-a-w/
  3.  Al-Quran Karim

Leave a comment