Tariq Bin Ziyad : Si Penakluk Andalusia

Wahai saudara-saudaraku, 

lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran…..

– Tariq bin Ziyad

Seusai menghabiskan sebuah buku berkenaan Tariq bin Ziyad, saya merasakan ada satu perasaan yang luar biasa. Setiap helaian muka surat yang dibaca membuatkan pembaca seperti saya bersemangat untuk menjadi muslim terbaik ekoran semangat jihad yang ditunjukkan oleh pemuda hebat yang bernama Tariq. Maka, eloklah saya berkongsi ringkasan yang diperolehi melalui pembacaan tersebut.tariq.jpg

 Pernah terdengar kisah budak suruhan yang akhirnya menjadi seorang panglima yang berjaya menakluk Andalusia ?

Tariq Bin Ziyad adalah orangnya. Beliau merupakan anak yatim piatu berbangsa Barber, yang berasal dari tanah Afrika. Ibu bapanya dibunuh oleh penjahat, dan kemudiannya dijual menjadi hamba atau budak suruhan. Satu hari, Musa bin Nusair, merupakan serorang Gabenor di Afrika telah memerdekakan dan mengislamkan Tariq serta diajar pelbagai ilmu seperti senjata dan menunggang kuda. Akhirnya, Tariq diberi kepercayaan menggalas jawatan menjadi seorang panglima.

 Hebat, kan? 

Bermulalah cabaran sebenar

Kisah panglima hebat ini bermula apabila Panglima Julian, Gabenor Ceuta di Andalus datang menghadap Musa ibnu Nusair. Beliau memohon bantuan daripada Musa dan tentera Islam agar dapat menumbangkan pemerintahan Raja Redoriga. Terdengar berita bahawa pemerintah Islam memerintah kawasannya dengan adil membuatkan Julian tertarik untuk sampai ke Afrika.

Dahulu, Andalus telah lama diperintah oleh raja yang amat zalim. Raja Redoriga merupakan raja yang kejam, bernafsu binatang sehingga menyebakan anak gadis Panglima Julian bunuh diri kerana diperkosa olehnya. Rakyat Andalus kemudian berasa amat terancam oleh askar-askar Raja Redoriga yang buas. Perkara tersebutlah yang menjadikan Julian mencari jalan untuk menghapuskan raja yang bernama Redoriga.

Maka, Panglima Tariq telah diamanahkan oleh Musa ibnu Nusair untuk memimpin pasukan peninjau yang berjumlah 12 ribu orang tentera. Pada mulanya, Panglima Malik dan Panglima Amir kurang setuju atas pelantikan tersebut disebabkan usia Tariq yang begitu muda, namun setelah Musa menjelaskan kepercayaan beliau terhadap Tariq yang juga seorang bijak,jujur,amanah dan berani. Masing-masing berpuas hati. Pemergian Tariq dan tenteranya hanya mengintip musuh, dan hanya memulakan peperangan setelah pasukan kedua dipimpin oleh Musa tiba dan bergabung dengan pasukannya.

Dengan berkat dan usaha Tariq dan tenteranya, mereka berjaya merentas lautan untuk tiba di tanah Andalus yang sekarang dikenali sebagai Sepanyol. Apabila Tariq mengetahui musuhnya lebih banyak jumlahnya daripada tenteranya dan diasak bertubi-tubi ketika peperangan yang pertama hingga melemahkan pertahanan tentera Islam, beliau mengarahkan agar kapal-kapal yang mereka naiki dibakar. Semuanya kehairanan. Kemudiannya, beliau pergi berpidato di atas puncak Jabal Tariq yang kini dpanggil Gibratar dan mengaitkan arahannya dengan kesinambungan sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w ketika perang Muktah  :

Saudara-saudara, dibelakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang sini demi syahid atau mencapai kemenangan

Demi Allah sekiranya kita berundur, lautan akan menenggelamkan kita. Sekiranya kita mara musuh sedang menanti. Kita tidak memiliki apa-apa selain senjata di tangan. Seandainya kita tewas, nama kita tercemar. Tuhan juga mencabut rasa gementar di hati musuh dan mereka berani pada kita. Sebaliknya Tuhan mencabut rasa berani di hati kita bertukar rasa takut pada musuh Pertahankan jiwa kalian.

Kata-kata yang disampaikan oleh Panglima Tariq itu seperti api yang menyambar daun-daun yang kering, semangat tenteranya secara tiba-tiba membara untuk berjuang habis-habisan. 

Setelah itu, terjadilah peperangan sengit di antara pasukan Muslimin dan pasukan askar Raja Redoriga di sekitar muara sungai Barbate yang di mana ketika inilah ramai musuh yang mati termasuk Raja Roderiga. Disebabkan banyak lagi kawasan yang perlu ditawan, Tariq memecahkan pasukannya kepada 4 kumpulan : Pasukan pertama akan ke Cordova, yang kedua pula akan menuju ke Kota Malaga, pasukan ketiga ditugaskan ke Kota Granada dan akhir sekali pasukan keempat akan dipimpin sendiri oleh Tariq ke Kota Toledo.

blogger-image--230382411.jpg
Peta penaklukan keempat-empat kota

Dan semua bandar tersebut dapat ditawan tanpa perlawanan yang mencabar. Semenjak itu, tentera sepanyol tidak berani lagi bersemuka dengan tentera Islam.

Tidak lama selepas itu, Musa ibnu Nusair tiba bersama pasukannya. Mereka bergabung dengan pasukan Tariq untuk memerangi saki baki tentera Gotik ( askar raja Redoriga ) di Ecija. Pertempuran itu disaksikan sangat hebat yang membawa kemenangan kepada tentera Islam walaupun bilangan tentera musuhjauh lebih ramai daripada tentera Islam itu sendiri.

Kini, seluruh wilayah Andalusia sudah di bawah kekuasaan pemerintah Islam. Alhamdulillah.

Setelah berjaya menakluk Andalusia, Tariq ingin melebar luaskan Islam di seluruh Eropah. Tapi hasratnya tidak tercapai kerana meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Damyik bertemu dengan Khalifah Yazid Abd Malik. 

Semoga Tuhan mencucuri rahmatnya. Amin

APA YANG MENARIK TENTANG PANGLIMA TARIQ ?

  • Tariq seorang pemuda yang hebat dan bijak. Bermula menjadi seorang budak asuhan kemudiannya menjadi panglima muda yang berjaya menakluk andalusia bersama tenteranya.
  • Beliau menjadikan Rasulullah sebagai idolanya. Sering kali, merujuk taktik-taktik peperangan Nabi Muhammad dan sahabatnya dan mengaplikasikannya dalam medan tempur yang disertainya
  • Beliau seorang ketua panglima yang terbaik. Beliau mencontohi apa yang dilakukan oleh Panglima Khalid Al Walid. Di mana Tariq hanya memilih tentera yang paling terbaik iaitu yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud.
  • Sentiasa memastikan tenteranya berjuang demi menegakkan syariat Allah, dengan tidak takut untuk mati syahid mereka tahu syahid ganjarannya syurga.

Kesimpulannya, keperibadian Tariq wajar dicontohi oleh anak muda zaman sekarang. Bagaimana beliau mempunyai semangat jihad yang tinggi,  tidak pernah putus asa , dan sering keluar dari zon selesa demi memastikan Islam itu tersebar luas ke seluruh tempat. Harus kita hargai usahanya, begitu juga nabi, sahabat-sahabat nabi, pahlawan-pahlawan, ulama-ulama , tokoh-tokoh sebelum kita atas apa yang mereka sudah laksanakan sebagai seorang muslim dalam memastikan ajaran Islam terus luas di atas muka bumi ini.

Oleh itu, tanyalah pada diri, apa yang sudah aku sumbangkan untuk agama ku ?

Fikir-fikirkan.

Rujukan :

Leave a comment